comscore
Tumpuan :
Nasional

3 meninggal dunia ketika mengundi, 1 kes lelaki mental cetus kekecohan

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (dua, kiri) meninjau pusat pengundian bagi Pilihan Raya Umum-15 (PRU15) di Sekolah Kebangsaan Desa Amanpuri hari ini. – Foto: BERNAMA

GOMBAK: Seorang lelaki yang dipercayai ada masalah mental dikesan membuat kekecohan dengan merampas dakwat serta menolak peti undi di sebuah Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Ulu Yam, Hulu Selangor, hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata lelaki berusia 27 tahun berkenaan dikatakan merampas dakwat dari petugas dan menolak kotak undi sehingga jatuh.

“Semakan dilakukan mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod sebagai pesakit mental.

“Selain itu, ada tiga kes kematian dilaporkan membabitkan pengundi yang meninggal dunia ketika beratur untuk membuang undi membabitkan satu kes di Kota Bahru, Kelantan dan dua kes di Johor,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini.

Acryl berkata, beliau sempat melakukan tinjauan di empat pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Amanpuri (Parlimen Damansara); SK Intan Baiduri, (Kepong); SK Setapak Indah (Batu) dan SK Sungai Kertas, Sri Gombak (Gombak).

“Saya dimaklumkan oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) bahawa hampir 46 peratus pengundi membuang undi sehingga jam 12.45 tengah hari tadi.

“Berdasarkan tinjauan dilakukan, saya mendapati pengundi berpusu-pusu keluar menunaikan tanggungjawab pada sebelah pagi menyebabkan keadaan beberapa pusat mengundi mengalami kesesakan.

“Bagaimanapun, saya dimaklumkan kesesakan di beberapa lokasi mula reda sejak jam 10.30 pagi tadi ada tempat (pusat mengundi) tidak lagi perlu beratur di luar premis,” katanya.

Polis menjangkakan keadaan agak lengang di pusat mengundi menjelang petang ini memandangkan ramai pengundi sudah menunaikan tanggungjawab pada sebelah pagi.

“Melihat kepada keadaan itu, saya percaya proses mengundi hingga jam 6 petang nanti akan kembali reda berbanding pagi tadi.

“Walaupun keadaan sesak pada sebelah pagi, ia terkawal sekali gus memperlihatkan masyarakat adalah matang dalam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh berhemah, tenang dan tenteram,” katanya.

Mengulas mengenai kesiapsiagaan pihak polis menjelang pengumuman keputusan malam ini, beliau meminta semua pihak supaya menerima apa juga keputusan diumumkan.

“Apa juga keputusan yang akan diumumkan malam ini, kita harap semua pihak menerima keputusan dengan lapang dada.

“Sebagai persediaan, kita pasti sudah bersedia untuk menangani apa juga situasi bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini