comscore
Tumpuan :
Nasional

3 NGO bergabung lancar MyPELINDUNG, atasi keraguan dos penggalak

Oleh : Izzatie Rizan

PETALING JAYA: Peratusan rendah rakyat Malaysia untuk mengambil suntikan dos penggalak mendorong tiga badan bukan kerajaan (NGO) bergabung melancarkan kempen MyPELINDUNG bagi menyebarkan maklumat tepat serta mengurangkan keraguan masyarakat berhubung pengambilan vaksin COVID-19.

Ia dianjurkan NGO Persatuan Kawalan Jangkitan dan Penyakit Berjangkit Malaysia (MyICID), Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM), dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (MRCS).

Menurut Presiden MyICID, Dr Shaharudeen Kamaludeen kesedaran masyarakat untuk mengambil dos penggalak masih di tahap kurang memuaskan walaupun orang ramai boleh hadir tanpa janji temu di klinik swasta terpilih untuk pengambilan vaksin COVID-19.

“Pengambilan keseluruhan vaksinasi memain peranan penting dalam mengurangkan kemungkinan penyakit teruk, kemasukkan hospital dan yang paling tragik kematian,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen berkenaan yang berlangsung di ibu negara pagi tadi.

Katanya, Malaysia mencapai kemajuan ketara melalui vaksinasi awal pada kadar 84.3 peratus tetapi menurun kepada 50 peratus bagi dos penggalak pertama dan 2.5 peratus bagi dos penggalak kedua.

Kempen berkenaan turut dihadiri pemenang Pemenang Anugerah Akademi (Oscar) ke-9, Tan Sri Michelle Yeoh yang menyokong sepenuhnya kempen berkenaan.

“Sebagai pengembara tegar, vaksinasi bukan sahaja melindungi kesihatan saya tapi merupakan perisai perlindungan untuk saya dan orang tersayang. Keutamaan bagi saya adalah mendapatkan suntikan vaksin dan kita mesti mengekalkan status vaksinasi terkini,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden NCSM, Datuk Dr Saunthari Somasundaram menggesa orang awam mengambil tindakan segera sekiranya termasuk dalam kategori berisiko tinggi atau menunjukkan simtom COVID-19.

“Mereka yang berumur 60 tahun ke atas atau mempunyai kondisi kesihatan termasuk penyakit jantung atau paru-paru, diabetes, kanser atau keadaan yang menjejaskan meningkatkan kerentanan mereka kepada COVID-19. Oleh itu rawatan awal walaupun gejala ringan penting dan boleh mengubah nasib anda,” jelasnya.

Turut menyaksikan pelancaran kempen ini, Tunku Temenggong Kedah, Tunku Tan Sri Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang juga Pengerusi Kebangsaan, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM).

Loading...
Terkini