TAMBUNAN: Tiga termasuk dua wanita parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas dan terjatuh gaung sedalam 40 meter di Kampung Tonop, Jalan Tambunan – Ranau, di sini, hari ini.
Mangsa yang parah adalah lelaki berusia 21 tahun dan dua wanita berusia 35 serta 55 tahun, manakala dua lagi lelaki masing-masing berusia 17 tahun cedera ringan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Mitchell Francis George berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 12.06 tengah hari.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 31 kilometer dari balai bomba.
“Setiba di lokasi, kemalangan membabitkan trak pikap Toyota Hilux terbabas sendiri dan terjatuh ke gaung sedalam 40 meter.
“Terdapat lima mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi rawatan awal dan menghantar semua mangsa ke Hospital Tambunan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.