JASIN: Seorang pesara kerajaan dan tiga pasangan suami isteri antara lapan individu disyaki pengikut ajaran sesat Millah Abraham yang ditahan dalam operasi bersepadu khas menerusi empat serbuan berasingan secara serentak sekitar daerah Jasin, awal pagi tadi.
Mereka yang ditahan berusia 28 hingga 72 tahun membabitkan lima lelaki dan tiga wanita terdiri pekerja swasta, bekerja sendiri dan suri rumah, selain pesara kerajaan berkenaan.
EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman, berkata operasi bersama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), disertai keseluruhan 70 pegawai dan anggota itu tertumpu di empat rumah sekitar daerah Jasin.
“Operasi bermula jam 12 tengah malam tadi dan berakhir kira-kira jam 4 pagi. Ia susulan aduan awam mengenai penyebaran dan amalan ajaran Millah Abraham yang masih dilakukan kumpulan berkenaan meski pun sudah diwartakan sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam di negeri ini.
“Dalam penggeledahan yang dijalankan di kediaman suspek, beberapa barang disita dan dirampas, antaranya buku berkait ajaran Millah Abraham seperti Ruhul Qudus Eksistensi dan Esensi Al-Quran, Jalan Kebenaran Universal, Renungan Spiritual, Membaca Alam Membaca Zaman, komputer riba dan telefon bimbit.
“Menerusi soal siasat, ada antara mereka mengaku sudah beberapa tahun tidak pernah menunaikan solat fardu, termasuk solat Jumaat, selain mendedahkan pengajian mengenai ajaran sesat berkenaan dilakukan secara dalam talian menerusi beberapa aplikasi tertentu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, beliau berkata, mereka juga aktif merekrut ahli baharu terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan.
“Sehubungan itu, mereka akan disiasat kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.
“Kesalahan adalah menghina agama Islam dengan mengingkari atau melanggar fatwa yang sudah diwartakan. Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak melebihi 36 bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Rahmad berkata, mereka juga disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 60 enakmen sama, iaitu kesalahan ajaran salah dan mengikut Seksyen 48, iaitu kesalahan penerbitan agama yang berlawanan dengan hukum syarak.
Beliau mengingatkan umat Islam, khususnya di Melaka supaya menjauhi fahaman atau ajaran yang difatwa serta diwartakan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam, sebaliknya mematuhi ajaran sebenar berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal al-Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang ajaran sesat di negeri ini boleh melaporkan kepada JAIM,” katanya.
Untuk rekod, ajaran Millah Abraham yang dikesan di negeri ini sejak 2016 adalah antara 36 kumpulan ajaran di Melaka yang sudah diwartakan pada 17 Ogos 2017 sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.