Tumpuan :
Nasional

3 pengawal keselamatan ditahan buat laporan palsu disamun hingga RM200,000

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar (Pemangku KPD), Syed Basri Syed Ali menunjukkan wang yang didakwa di samun pada sidang media mengenai dakwaan 3 pengawal keselamatan di samun di Ipd Kota Setar. FOTO: NSTP

ALOR SETAR: Tiga pengawal keselamatan sebuah syarikat sekuriti swasta, di sini sanggup membuat laporan palsu kononnya mereka disamun sehingga menyebabkan wang tunai sebanyak RM200,000 lesap.

Dalam kejadian Selasa lalu, ketiga-tiga suspek berusia 28, 37 dan 38 tahun itu membuat laporan polis dengan ditemani majikan mereka pada jam 12 tengah hari untuk memaklumkan kononnya mereka disamun.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, bagaimanapun keterangan yang mencurigakan oleh mereka itu menyebabkan ketiga-tiga pengawal keselamatan terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, pihaknya mengesyaki keterangan yang diberikan ketiga-tiga suspek itu hanya rekaan semata.

“Hanya dalam tempoh dua jam, polis berjaya mendapatkan semula wang tunai sebanyak RM200,000 yang dilaporkan hilang dan kononnya disamun itu selepas maklumat kehilangan wang itu diterima.

“Berikutan itu, pihak syarikat keselamatan terbabit kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, hari ini.

Syed Basri berkata, siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek itu dipercayai sudah lama bekerja di syarikat sekuriti itu kurang dari 10 hingga 14 tahun.

Namun katanya, mereka dipercayai mencari peluang untuk melakukan kegiatan itu selepas mengambil wang tunai terbabit di sebuah bank di kawasan Kota Setar sebelum bertindak melarikan wang berkenaan.

“Mereka memberi alasan ada suspek lain melakukan kegiatan samun dan melarikan wang berkenaan yang diletakkan dalam guni yang baru diambil dari sebuah bank.

“Kesemua suspek itu adalah orang tempatan dan tiada rekod jenayah dilakukan mereka sebelum ini namun dua daripada mereka didapati positif dadah jenis methampetamine,” katanya.

Syed Basri berkata, mereka sepatutnya menghantar wang itu ke sebuah institusi kewangan lain di daerah ini.

Beliau berkata, susulan itu, pihaknya merampas beberapa barangan seperti motosikal salah seorang suspek, pakaian seragam pengawal keselamatan, guni yang menyimpan wang tunai, wang tunai RM200,000, kunci motosikal serta telefon bimbit.

“Kesemua barangan ini dirampas di beberapa kawasan berasingan di Kota Setar.

“Mereka direman tiga hari bermula semalam dan kita akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah amanah dan jenayah,” katanya.

Syed Basri berkata jika didapati bersalah, boleh dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 14 tahun dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini