comscore
Tumpuan :
Nasional

3 Polis Trafik ditahan kes ‘minta RM100’

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.- Foto: NSTP

IPOH: Tiga anggota Polis Trafik ditahan reman tiga hari mulai hari ini untuk siasatan berhubung perbuatan meminta wang daripada pasangan pelancong warga United Kingdom (UK) bagi menyelesaikan saman trafik, baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tiga anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang ditahan itu berusia 37 hingga 42 tahun.

Beliau berkata, ketiga-tiganya kini dalam tahanan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 1 Februari bagi membantu siasatan kes yang berlaku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands itu.

Katanya, mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan; Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

“Siasatan kes itu diambil alih Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya apabila siasatan dilengkapkan.

“Selain itu siasatan dalaman juga dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

“JSPT Perak terkesan video berkenaannya semalam apabila anggota trafik itu menahan pelancong yang dalam edisi Jelajah Malaysia dan menawarkan bayaran saman dengan menerima suapan RM100,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tangkap layar daripada video tular menunjukkan insiden berkenaan.

Pagi tadi, Mohd Yusri mengesahkan pihaknya sudah mengenal pasti anggotanya yang terbabit dalam kejadian tular itu yang membabitkan pasangan pelancong itu yang juga pencipta kandungan media sosial YouTube atau ‘Youtuber’ bagi menyelesaikan saman kesalahan trafik.

Pemilik akaun laman sosial ‘X’ bernama @TREADtheglobe yang dipercayai dimiliki pasangan pelancong dari UK yang dikenali di YouTube sebagai ‘UK Van Lifers’ itu memuatnaik hantaran ciapan malam tadi bahawa mereka sudah berhubung dengan polis Malaysia dan sedia bantu berikan kerjasama terhadap siasatan yang dijalankan mengenai kes itu.

Mohd Yusri berkata, polis menggesa mangsa kes itu tampil memberi kerjasama agar siasatan dapat dilengkapkan seberapa segera, di samping menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes itu sehingga menjejaskan siasatan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) ingin menegaskan, kami memandang serius terhadap integriti dan tingkah laku warga PDRM serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku yang dilakukan oleh mana-mana warganya.

“Polis turut mengalukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ipoh di talian 05-2542222,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

 

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini