comscore
Tumpuan :
Nasional

3 PPS masih beroperasi di Perlis

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra mencemar dulu melawat PPS SK Sena dan turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir. – FOTO: JKM Perlis.

ARAU: Satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir di Perlis iaitu di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Arau sudah pun ditutup sejak semalam menjadikan keseluruhan mangsa banjir yang masih berada di PPS di negeri ini adalah 113 orang.

PPS berkenaan yang menempatkan 27 mangsa banjir daripada tujuh keluarga yang tinggal di Kampung Titit Besi, Arau ditutup sekitar jam 7 petang semalam setelah kesemua mangsa mendapat kebenaran untuk pulang semula ke kediaman masing-masing selepas ditempatkan di PPS berkenaan pada Selasa lalu.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Perlis, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Perlis, Leftenan Kolonel (Pertahanan Awam) Mohd Izaimi Md Daud berkata, dengan penutupan satu PPS itu menjadikan keseluruhan mangsa banjir di Perlis yang masih berada di PPS seluruh negeri itu adalah 113 orang.

“Masih terdapat tiga lagi PPS yang dibuka iaitu dua di Arau iaitu di PPS SK Dato Ahmad Musa, Simpang Empat dan PPS SK Kubang Gajah, Arau manakala di Kangar pula adalah di PPS SK Sena.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra mencemar dulu melawat PPS SK Sena dan turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir. – FOTO: JKM Perlis.

“PPS SK Dato Ahmad Musa, Simpang Empat dibuka bagi menempatkan 47 orang mangsa daripada 14 keluarga dari Sungai Padang, Simpang Empat manakala PPS SK Kubang Gajah, Arau pula dibuka bagi menempatkan 37 mangsa daripada 13 keluarga selepas rumah mereka di sekitar Kampung Kubang Gajah dinaiki air sejak kelmarin.

“Bagi PPS SK Sena pula, mangsa yang masih ditempatkan di tempat itu adalah 29 mangsa daripada 13 keluarga dari kawasan Kampung Bakau dan Kampung Tok Kandang, Sena,” katanya.

Sementara itu, laman web Public Infobanjir mencatatkan paras air di Empangan Timah Tasoh turut berada dalam keadaan waspada apabila merekodkan 29.45m berbanding paras normalnya iaitu 29.10m.

Tiga sungai utama di Perlis iaitu Sungai Pelarit, Sungai Gial, Sungai Arau dan Sungai Perlis masih berada pada paras normal.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini