comscore
Tumpuan :
Nasional

3 remaja lelaki maut, nahas babitkan 7 motosikal 

Tiga penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tujuh motosikal di Kilometer (KM) 9.9, Lebuhraya Ketereh-Kota Bharu, di sini, jam 12.30 malam tadi. – FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Tiga remaja lelaki maut dalam nahas melibatkan sekumpulan penunggang motosikal dan beberapa kenderaan di Kilometer (KM) 9.9, Lebuhraya Ketereh-Kota Bharu, di sini, tengah malam tadi.

Tiga penunggang lain turut cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata kejadian jam 12.30 tengah malam itu membabitkan sekumpulan penunggang motosikal dari arah Ketereh menghala ke Kota Bharu.

FOTO: NSTP

“Sebaik sampai di lokasi, dua motosikal yang berada di hadapan berlanggar sesama sendiri dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal yang mula-mula terjatuh dan berada di atas jalan.

“Keadaan itu menyebabkan berlaku perlanggaran oleh empat motosikal yang berada di belakang serta membabitkan beberapa kenderaan lagi.

“Kemalangan itu menyebabkan tiga mangsa berusia 19 hingga 21 tahun meninggal dunia dan mayat dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosdi berkata, tiga lagi penunggang motosikal yang terbabit cedera parah dan masih menerima rawatan di Zon Merah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Menurutnya kejadian dipercayai berlaku ketika motosikal ditunggang dalam kelajuan tinggi sehingga menyebabkan penunggang gagal bertindak awal selain kesukaran melihat dalam suasana yang gelap.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kami meminta orang ramai yang melihat kejadian ini untuk tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.

“Saksi juga boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Nurul Izzati Mohammad Rosli di talian 09-7752315 bagi membantu siasatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini