comscore
Tumpuan :
Nasional

3 sekawan berdepan tali gantung, edar dadah 82.866 gram

(Dari kiri) Mahathir Hamzi, Muhammad Nazry dan Muhammad Amirul dibawa keluar dari Mahkamah Majistret selepas dituduhmengedar dadah 82.866gm. – FOTO: NSTP

MUAR: Tiga sekawan berhadapan hukuman gantung apabila dituduh di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamin seberat 82.866 gram, bulan lalu.

Ketiga-tiga tertuduh Muhammad Amirul Azha Roslan, 31; Muhammad Nazry Iskandar Abdullah, 27, dan Mahathir Hamzi Sabaruddin, 25, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibaca serentak di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh yang bekerja sendiri memandangkan kes itu di luar bidang kuasa Mahkamah Majistret.

Mengikut pertuduhan, mereka bertiga dengan niat bersama mengedar dadah jenis methamphetamin dengan anggaran berat kasar 82.866gm.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Sungai Balang Darat, Jalan Muar-Batu Pahat, di sini pada jam 6.45 petang, 24 Januari lalu.

Oleh itu, ketiga-tiga tertuduh boleh didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B akta sama dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan ini, ketiga-tiga tertuduh boleh dihukum gantung atau penjara seumur hidup jika tidak dikenakan hukuman mati, serta sebatan tidak kurang 15 kali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Ariff Marzuki manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan kes ini disebut semula pada 21 April ini serta tiada jaminan ditawar terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Pada 24 dan 25 Januari lalu, polis berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan dadah antarabangsa selepas menahan lapan individu, termasuk suspek disyaki dalang, dalam lima serbuan di tiga negeri.

Ketika serbuan dilakukan, ketiga-tiga tertuduh dilaporkan sedang menyiapkan bungkusan dadah yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM2.73 juta.

Mereka ditahan dalam operasi khas yang dijalankan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Johor di Parit Jawa, Muar; Permatang Pauh, Pulau Pinang; dan Muadzam Shah, Pahang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini