comscore
Tumpuan :
Nasional

3 syarikat mula ‘risik’ peluang pelaburan di Bagan Datuk – Ahmad Zahid

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

BAGAN DATUK: Pembukaan jambatan Bagan Datuk dan pembinaan jalan baru yang menghubungkan laluan dari Bagan Datuk ke Kampung Sejagop membuka ruang pelaburan dan peluang pekerjaan buat masyarakat di kawasan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahidi Hamidi berkata pelaburan itu membabitkan pembinaan kilang pembuatan kenderaan berat; kilang kenderaan eletrik dari China dan pelaburan dari Turkiye untuk membina sebuah limbungan kapal bagi melakukan kerja pembaikan kapal yang melalui Selat Melaka.

Katanya, koordinasi bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) sedang dilakukan bagi merealisasikan pelaburan itu.

“Yang paling penting adalah bukan hanya infrastruktur sahaja tetapi adalah pembangunan ekonomi setempat iaitu di kawasan Parlimen Bagan Datuk, Pasir Salak, Teluk Intan dan Sabak Bernam” ujarnya ketika sidang media di Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk.

Ujar Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, dengan adanya pelaburan dan pembinaan kilang-kilang itu, ia akan membuka sebanyak 10,000 peluang pekerjaan baru yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat setempat.

Beliau turut menyatakan dalam usaha untuk menyedia dan menyiapkan tenaga kerja baru yang bersesuaian dengan industri, Politeknik Bagan Datuk yang bakal siap akan memfokus kepada kursus berkaitan kejuruteraan laut, senibina perkapalan dan kimpalan pembaikan kapal.

Datuk Seri Ahmad Zahid juga menyeru semua pihak agar mengenepikan perbezaan terutamanya politik sebaliknya menumpukan kepada kebajikan rakyat.

“Ini adalah satu permulaan yang baik dan kita ketepikan perbezaan-perbezaan di kalangan kita. Kita bina keyakinan baharu demi keyakinan rakyat secara keseluruhannya.” katanya.

Loading...
Terkini