Oleh: Safwan Sawi
LAHAD DATU: Tiga lelaki warga asing ditahan selepas dipercayai mencuri 20 batang kayu beruti di perairan Kunak, semalam.
Semua suspek terbabit ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu, menerusi Op Pluto Timur, kira-kira jam 5.20 pagi.
Tiga lelaki warga asing ditahan selepas dipercayai mencuri 20 batang kayu beruti di perairan Kunak, semalam.
VIDEO: Maritim Lahad Datu pic.twitter.com/ZLpSQHKtgq
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) October 27, 2024
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, pihaknya mengesan sebuah bot pam sarat dengan muatan kayu dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 0.7 batu nautika Timur Laut Bandar Kunak.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati bot pam berkenaan tiada nombor pendaftaran dan dikendalikan oleh tiga lelaki warga asing berusia dalam lingkungan 35 hingga 45 tahun.
“Pemeriksaan lanjut mendapati semua lelaki terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan menemukan sebanyak 20 batang kayu beruti yang diikat di sisi bot berkenaan.
“Hasil soal siasat, difahamkan 20 batang kayu berkenaan dicuri dari kilang dan akan dijual di pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut Dzulfikhar suspek dan kayu beruti yang dianggarkan bernilai lebih RM5,000 itu di bawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan serta tindakan lanjut.
“Semua suspek disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Kanun Keseksaan kerana memiliki kayu beruti disyaki dicuri,” katanya.
Berikutan kes tangkapan itu, katanya, Zon Maritim Lahad Datu akan meningkatkan rondaan dan pemeriksaan ke atas bot-bot di perairan ini khususnya yang melakukan aktiviti mencurigakan.
Dzulfikhar turut menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang dan akan mengambil tindak tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukannya.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah dan insiden kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim, Zon Maritim Lahad Datu.
“Maklumat boleh disalurkan melalui aplikasi Whatsapp 016-9305727 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.