comscore
Tumpuan :
Nasional

30 tahun tanpa telefon, internet

FOTO: NSTP – Penduduk Taman Bunga Raya yang ditemui, N Hari Krishnan,68, (kiri) dan Tan Tian Weng, 58.

PADANG SERAI: Kira-kira 8,000 penduduk di beberapa taman perumahan dan kampung di sini berdepan dengan masalah rangkaian perkhidmatan telefon dan internet sejak 30 tahun lalu.

Penduduk merungut ketiadaan perkhidmatan tersebut menyusahkan mereka lebih-lebih jika berlaku kecemasan.

Antara kawasan perumahan yang terjejas ialah Taman Bunga Raya, Taman Raya Indah, Taman Raya Murni dan Kampung Padang dan Kampung Nesa.

Seorang penduduk Taman Bunga Raya, N Hari Krishnan, 68, berkata beliau terpaksa keluar dari kawasan perumahan untuk menghubungi ahli keluarga lain jika berlaku kecemasan.

“Saya tinggal di sini sejak 1989, negara kita sekarang sudah maju tapi kami di sini masih terpinggir tanpa liputan telefon dan Internet. Bayangkan jika berlaku kecemasan seperti ahli keluarga sakit, saya terpaksa keluar dari kawasan perumahan ini untuk menghubungi ahli keluarga yang lain.

“Begitu juga dengan anak-anak yang mahu belajar atau mengulangkaji pelajaran, mereka perlu keluar ke pekan Padang Serai yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah,” kata pesara kerajaan itu.

Penduduk Kampung Padang, Tan Tian Weng, 58, berkata ketiadaan rangkaian telefon dan Internet di kawasan perumahan mereka menyebabkan penduduk sukar berhubung dengan dunia luar.

“Tiga bulan lalu pencuri masuk ke rumah saya, ketiadaan rangkaian telefon dan Internet menyukarkan kami untuk mendapatkan bantuan, saya perlu keluar dari kawasan ini untuk telefon polis dan sebagainya.

“Saya sudah kerugian puluhan ribu ringgit, kami di sini sukar untuk menghubungi jiran-jiran untuk meminta bantuan, kami hidup dalam ketakutan, sekiranya ada rangkaian telefon dan Internet kami akan lebih rasa selamat dapat berhubung antara satu sama lain dengan jiran-jiran,” katanya yang bekerja sendiri.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Serai, Datuk C Sivaraj berkata pihaknya sangat berharap kerajaan dapat memasang menara telekomunikasi di kawasan itu dengan segera bagi memudahkan penduduk menjalankan aktiviti harian.

“Saya pernah berjumpa dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia,Tan Sri Annuar Musa sebelum ini utarakan masalah penduduk di sini, jadi selepas ini kita harap kerajaan dapat membantu penduduk di sini.

“Saya sudah masukkan perkara ini menjadi antara manifesto utama saya untuk penduduk di Padang Serai, saya yakin akan dapat bantu selesaikan masalah mereka sekiranya mendapat kepercayaan penduduk menjadi Ahli Parlimen.

“Dalam masa sama, saya lihat jalan serta longkang di kawasan perumahan ini juga perlu dinaik taraf bagi mengelak berlakunya limpahan air ke kawasan rumah penduduk, perkara ini pun saya akan tolong selesaikan menerusi agensi berkaitan, “katanya ketika ditemui ketika berkempen di kawasan perumahan berkenaan semalam.

Loading...
Terkini