comscore
Tumpuan :
Nasional

300 pasangan nikah di Thailand setiap bulan 

Foto hiasan

YALA: Kira-kira 300 pasangan Malaysia diberikan pengesahan dokumen pernikahan oleh Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand untuk melangsungkan pernikahan mereka di lima wilayah di Selatan Thailand.

Bagaimanapun, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, berkata pihaknya tidak mempunyai pecahan secara khusus terhadap pasangan yang bernikah di Thailand ini, sama ada mereka pasangan muda atau golongan ternama atau pun mempunyai tujuan khusus seperti berpoligami atau ‘kahwin lari’.

“Secara purata jumlahnya antara 250 hingga 300 pasangan setiap bulan dan nisbahnya adalah antara 60:40 yang mana 60 itu lebih kepada tujuan berpoligami manakala bakinya membabitkan tentangan keluarga atau isteri pertama dan ada juga disebabkan bernikah dengan warga Thailand.

“Purata anggaran itu adalah membabitkan pernikahan yang dilangsungkan di lima wilayah utama di Selatan Thailand iaitu di Narathiwat, Yala, Pattani, Songkhla dan Satun. Pasangan yang bernikah di Bangkok pula, boleh ke Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok untuk tujuan yang sama.

“Harus diingatkan, Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia tidak sesekali terbabit menjalankan pernikahan mereka. Sebaliknya, tugas kita adalah untuk memastikan dan ‘endorse’ dokumen pernikahan yang ditampilkan setiap pasangan hadir ke pejabat konsulat adalah sah dan pasangan berkenaan sudah pun dinikahkan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Hari Melayu atau ‘Malay Day’ di Sanam Chang Phueak Park, Yala, di sini kelmarin.

Menurut Ahmad Fahmi, pasangan Malaysia yang sudah menjalankan pernikahan mereka di negara ini perlu datang ke Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia untuk pengesahan dokumen pernikahan.

Ini kerana hanya melalui pengesahan daripada pihaknya, barulah pernikahan itu boleh didaftarkan di Selatan Thailand sebelum melakukan pendaftaran kedua semula di Malaysia.

“Pengesahan ini penting kerana kita perlu memastikan dokumen yang ditampilkan adalah sah, selain mengelakkan cubaan penipuan daripada sindiket (pengatur) pernikahan.

“Sebagai contoh, terdapat kes ada sindiket yang mendakwa menguruskan pasangan yang dikatakan bernikah di Thailand namun apabila diteliti, pasangan berkenaan belum lagi bernikah dan tidak hadir pun ke negara ini untuk bernikah serta masih berada di Malaysia.

“Sudah tentulah pernikahan itu perlu didaftarkan semula di Malaysia dan ia juga akan membabitkan denda tetapi tidak dinafikan ramai pasangan yang hadir ke pejabat kami mengemukakan dokumen pernikahan mereka di negara ini untuk didaftarkan,” katanya.

Beliau berkata, pendaftaran pernikahan itu adalah penting kerana tidak mahu berlaku pelbagai masalah yang berbangkit di kemudian hari seperti kewujudan anak tanpa negara serta pewarisan harta.

Pada masa sama, dibimbangi apabila anak pasangan terbabit sudah dewasa dan mahu bernikah akan timbul masalah mencari wali disebabkan ibu bapa mereka tidak mendaftarkan semula pernikahan di Malaysia sebelum itu.

“Justeru, kami amat mengesyorkan pasangan Malaysia bernikah di Selatan Thailand supaya mengesahkan sijil pernikahan mereka di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, seterusnya daftarkan semula pernikahan apabila kembali di Malaysia agar tidak banyak isu yang akan timbul di masa hadapan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini