comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 31 peratus melayu undi PH, bukan 19 peratus – Anwar

Oleh Ain Shafiqah Zaki

PETALING JAYA: Kira-kira 31 peratus daripada lebih 5.8 juta undi diterima gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah daripada orang Melayu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dapatan itu berdasarkan analisis pasukan data saintis yang diwujudkan Pakatan Harapan (PH).

Analisis itu juga menunjukkan gabungan undi diperoleh semua parti dalam Kerajaan Perpaduan menyamai dua pertiga daripada lebih 15 juta undi.

Tegasnya, dapatan itu secara langsung menafikan tuduhan mengatakan gabungan itu ditolak masyarakat Melayu dan dakwaan mengatakan PH hanya mendapat 19 peratus undi Melayu.

“Bila kita buat satu pasukan data saintis yang membuat analisis, kita dapat lihat dalam data awal bahawa sebenarnya tidak benar kononnya PH mendapat 19 peratus sokongan Melayu.

“Secara keseluruhannya, undi diperoleh PH ialah 31 peratus pengundi Melayu. Ada yang rendah seperti di Kelantan dan Terengganu, namun ada yang mencecah lebih 50 peratus dengan tertinggi di Wilayah Persekutuan, diikuti Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di ibu pejabat PKR, Tropicana petang tadi.

Sidang media itu turut dihadiri oleh, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan jumlah dua pertiga undi diperoleh semua parti dalam Kerajaan Perpaduan membuktikan kestabilan dan kekuatan pentadbirannya.

“Kalau dikumpul kekuatan Kerajaan Perpaduan sekarang ini membabitkan komponen PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti lain yang bersama, itu sudah mencecah dua pertiga daripada keseluruhan undi dalam PRU15.

“Dua pertiga Ahli Parlimen yang mewakili dua pertiga pengundi dalam PRU15, kita yakin dapat terus mengemudi negara ini sebagai satu pasukan yang mantap,” katanya kepada pemberita.

Jelasnya, beliau akan terus menggunakan ruang yang ada untuk membersihkan negara daripada budaya rasuah dan memacu pertumbuhan ekonomi dengan lebih meyakinkan.

Loading...
Terkini