comscore
Tumpuan :
Nasional

311 pegawai, anggota polis Selangor dikenakan tindakan tatatertib sepanjang 2023

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

BATU CAVES: Polis Kontinjen Selangor mengesahkan seramai 311 pegawai dan anggotanya dikenakan tindakan tatatertib dan terlibat dalam pelbagai kes jenayah sepanjang 2023.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan daripada jumlah itu, seramai 33 pegawai dan anggota sudah dituduh di mahkamah.

14 individu ditahan dan dibuang kerja serta 21 individu digantung kerja.

Menurutnya, walaupun jumlah berkenaan kecil berbanding keseluruhan 15,000 keanggotaan kontinjen Selangor, pihaknya tidak mengambil mudah atau berkompromi dengan isu terbabit.

“Walaupun angka kecil berbanding kekuatan polis dalam Selangor tetapi kita tidak mengetepikan atau melindungi apa-apa kesalahan sama ada jenayah atau pelanggaran tatatertib yang dilakukan oleh anggota kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Kawalan Polis di Kuil Batu Caves, di sini, hari ini.

Beliau berkata, seramai 167 anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang sudah berkhidmat selama lima tahun akan dimobilisasi ke unit lain dan akan diganti oleh anggota unit lain.

Katanya, tindakan ini diambil bagi memperkasa perkhidmatan MPV dan memudahkan pihaknya mengenal pasti anggota bermasalah.

Hussein berkata tindakan ke atas pegawai penyelia juga akan dikenakan sekiranya gagal menyelia anggota masing-masing mengikut Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Polis Kontinjen Selangor juga sudah menubuhkan dua unit khas di bawah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) untuk memantau pegawai dan anggota secara berterusan,” katanya.

Loading...
Terkini