comscore
Tumpuan :
Nasional

 325 pekerja asing disumbat dalam 5 ruang penginapan 

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) KSM, Mohd Asri Abdul Wahab (dua dari kanan) melihat keadaan bilik tidur pekerja asing dalam Operasi Penguatkuasaan Khas Bersepadu Johor Bahru di Taman Tan Sri Yaccob. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Sebuah kilang pembuatan bahan berasaskan plastik di Taman Tan Sri Yaakob di sini, disiasat selepas disyaki gagal mematuhi peraturan penginapan bagi 325 pekerja asing di premisnya.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kementerian Sumber Manusia (KSM), Mohd Asri Abdul Wahab, berkata syarikat terbabit didapati hanya menyediakan lima ruang penginapan di kawasan stor penyimpanan produk siap dengan purata setiap unit menempatkan kira-kira 65 pekerja.

Katanya kesalahan itu dipercayai dilakukan majikan sejak 2021.

“Kita akan membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti kesalahan pihak majikan yang mana setiap unit kediaman boleh dikenakan kompaun maksimum RM50,000.

“Hasil operasi, saiz ruangan penginapan disediakan sesuai untuk kegunaan enam pekerja sahaja, dengan sebuah unit bilik air.

“Pekerja tidak disediakan lokar berkunci untuk menyimpan barangan peribadi termasuk pasport.

“Daripada pemeriksaan, ada unit penginapan katil pun tidak disediakan manakala bilik tidur adalah kawasan memasak dengan barangan seperti bawang dan cili turut disimpan, malah peti ais juga ada di bilik tidur.

“Ada juga lot penginapan yang kawasan mandi tidak berdinding dan dibina bersebelahan tempat memasak,” katanya pada sidang media selepas mengetuai serbuan di premis terbabit, hari ini.

Mohd Asri berkata, tindakan akan diambil terhadap majikan mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 (Akta 446).

Loading...
Terkini