
GEORGE TOWN: Dakwa datang ke pusat hiburan atas jemputan rakan, namun taktik wanita warga asing dipercayai pelayan pelanggan (GRO) itu tidak berjaya ‘mengaburi mata’ pihak berkuasa apabila mereka ditahan dalam satu operasi di sini, hari ini.
Dalam serbuan pertama oleh Jabatan Imigresen Pulau Pinang itu, 17 wanita warga asing berusia antara 20 hingga 40-an berkenaan didapati melanggar Akta Imigresen 1959/63.
Siasatan awal pasukan serbuan mendapati kebanyakan wanita itu bekerja di pusat hiburan itu, secara tetap dan sambilan.
Ketika serbuan, seorang wanita warga Vietnam berusia 20-an mendakwa dia mampu meraih tip cecah ribuan ringgit dalam tempoh dua minggu daripada pelanggan di pusat hiburan berkenaan.
Wanita itu juga mendakwa memasuki negara ini secara haram menerusi jalan hutan di sempadan di utara tanah air.
Malah, rakan sekerjanya yang sudah lama berkecimpung dengan kegiatan itu turut mendakwa mampu meraih tip berjumlah enam angka setiap bulan.
Manakala, dalam operasi berasingan di Bukit Mertajam pula, 18 GRO warga asing diberkas bagi membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu, Pengarah JIM Pulau Pinang, Nur Zulfa Ibrahim mengesahkan tangkapan 35 wanita warga asing berkenaan.
“Kesemua wanita warga asing itu dibawa ke Depot Imigresen di Juru bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.