comscore
Tumpuan :
Nasional

35 lagi laporan berkaitan PRU-15 diterima polis

Foto hiasan

SHAH ALAM: Polis Selangor menerima 35 laporan dan satu kertas siasatan dibuka berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan laporan yang diterima mulai 5 November hingga semalam adalah 354 laporan polis dengan 27 kertas siasatan sudah dibuka.

Katanya, enam individu juga sudah ditahan dipercayai terbabit dalam kes berkaitan PRU-15.

“Bagi ceramah dan kempen pula, sebanyak 94 ceramah dan 191 kempen yang mendapat permit sudah diadakan oleh parti yang bertanding, semalam.

“Jumlah keseluruhan kempen dan ceramah dengan permit yang diadakan sepanjang tempoh dari 5 November hingga semalam adalah sebanyak 3,573,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Arjunaidi berkata, penduduk dinasihatkan agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan proses hari pengundian hari ini berjalan lancar.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan agar terus bersikap matang dan hormat menghormati antara satu sama lain serta mengelakkan daripada melakukan provokasi yang boleh mencetuskan insiden tidak diingini kerana ia boleh mengganggu gugat keselamatan serta ketenteraman awam. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini