comscore
Tumpuan :
Nasional

35 lagi mangsa sindiket tipu kerja di Kemboja dibawa pulang

Antara warganegara Malaysia yang menjadi mangsa penipuan sindiket tawaran pekerjaan di Kemboja bersama pegawai pihak berkuasa negara berkenaan. – Foto FB SAIFUDDIN ABDULLAH

PUTRAJAYA: Seramai 35 lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja berjaya dibawa pulang ke tanah air .

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata semua mereka tiba menerusi dua kumpulan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 melalui penerbangan MH755 pada jam 2 petang dan AK539 pada jam 5.35 petang semalam.

“Ini kejayaan terbesar Kementerian Luar membawa pulang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket itu melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh.

“Setakat semalam, daripada 220 kes jenayah penipuan penawaran pekerjaan di negara itu yang dilaporkan, semua mangsa telah berjaya dibawa pulang. Setakat ini, tiada mangsa yang berada di depoh tahanan imigresen negara itu.

“Kementerian Luar akan terus memantau keadaan semasa dan bersedia membantu mangsa apabila dilaporkan dan memerlukan bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pada masa sama Wisma Putra melalui pihak kedutaan di Laos, Myanmar dan Thailand terus menggiatkan usaha mengesan dan menyelamatkan warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket di negara berkenaan.

“Daripada keseluruhan 459 laporan yang diterima, seramai 324 orang berjaya diselamatkan. Ini termasuk 20 orang yang berada di depoh tahanan imigresen di ketiga-tiga negara terbabit.

“Pihak kedutaan kita di ketiga-tiga negara itu dengan kerjasama kerajaan negara berkenaan masih giat mengesan 135 lagi yang dilaporkan sebagai mangsa,” katanya.

Saifuddin berterima kasih dan menyampaikan penghargaan kepada kerajaan Kemboja yang sentiasa memberikan bantuan dan kerjasama terbaik bagi membolehkan warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket dibawa pulang ke tanah air.

“Penghargaan juga dizahirkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan media tempatan di atas kerjasama erat yang diberikan dalam urusan kepulangan mereka.

“Warga Malaysia dinasihatkan sentiasa berwaspada dengan tawaran pekerjaan di luar negara yang diterima, terutama melalui sosial media. Mereka boleh berhubung dengan Kedutaan Malaysia di negara berkenaan jika ada keraguan berhubung tawaran sedemikian,” katanya.

Loading...
Terkini