comscore
Tumpuan :
Nasional

35 laporan polis diterima berkait kes tipu ‘kutu emas’

Mahmud (tengah) bersama mangsa penipuan emas membuat laporan di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam, kelmarin. -FOTO NSTP

KUALA LUMPUR: Polis sudah menerima 35 laporan polis ke atas Siti Hajartul Haini Abd Hamid berhubung penipuan jualan emas membabitkan kerugian RM25.4 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sehingga semalam, sebanyak 35 laporan polis diterima membabitkan enam lelaki dan 29 wanita berusia 29 hingga 60 tahun.

Menurutnya, laporan polis diterima itu membabitkan lapan negeri dengan terbanyak di Kedah iaitu sebanyak 18 laporan polis.

“Mereka terdiri 21 orang kakitangan kerajaan, sembilan pekerja swasta dan lima orang bekerja sendiri,” katanya kepada Harian Metro tadi.

Terdahulu media melaporkan wanita dikehendaki polis, Siti Hajartul Haini Abd Hamid berhubung penipuan jualan emas membabitkan kerugian jutaan ringgit ditahan polis.

Wanita berusia 37 tahun itu diberkas di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang semalam.

Menurutnya, suspek ditahan selepas tiba di lapangan terbang sebaik tiba ke negara ini dari Dubai.

Wanita itu kemudian dibawa ke mahkamah di Jitra, Kedah hari ini, untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Muka depan Metro Ahad sebelum ini melaporkan lebih 100 mangsa berputih mata apabila kerugian lebih RM110 juta selepas diperdaya dengan jualan emas 916 pada harga lebih rendah dari pasaran oleh suspek sejak dua bulan lalu.

Kebanyakan mangsa yang bekerja di satu unit di sebuah hospital awam di Lembah Klang selain guru di beberapa negeri.

Sama seperti skim kutu yang memperdaya mangsa sebelum ini, pelabur ditawarkan dengan harga murah sehingga ada yang sanggup meminjam daripada saudara mara, rakan dan peminjam wang tanpa lesen semata-mata merebut ‘tawaran hebat’ terbabit.

Kebanyakan mangsa tampil membuat laporan kepada Pengarah Advokasi Khidmat Guam Dr Mahmud Jumaat untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini