comscore
Tumpuan :
Nasional

353 mangsa banjir di Perak masih ditempatkan di 5 PPS

PPS Dewan Orang Ramai Kampung Kuak Luar menempatkan 41 orang daripada 14 keluarga mangsa banjir-Foto: NSTP

IPOH: Sebanyak 353 orang daripada 103 keluarga mangsa banjir masih ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak pagi ini berbanding 419 orang daripada 121 keluarga semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan memaklumkan di daerah Hilir Perak, 105 orang daripada 33 keluarga masih ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, manakala 48 orang daripada 12 keluarga berada di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan.

“Di Kerian, 100 orang daripada 24 keluarga masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan 59 orang daripada 20 keluarga pula berlindung di PPS SK Alor Pongsu,” menurut kenyataan itu.

Menurut sekretariat itu, jumlah mangsa banjir di daerah Hulu Perak kekal seramai 41 orang daripada 14 keluarga di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Kuak Luar.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan, paras Sungai Bidor di Changkat Jong berada pada paras bahaya apabila merekodkan ketinggian 3.65 meter berbanding paras normal iaitu dua meter manakala Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang pula pada paras berjaga-jaga dengan 13.28 meter berbanding paras normal 10 meter.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan ribut petir berlaku pada sebelah petang di beberapa daerah iaitu Hilir Perak, Manjung, Larut, Matang dan Selama, Kinta, Kuala Kangsar, Kerian serta Bagan Datuk.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak turut memaklumkan Jalan Kubu Gajah Ijok-Sumpitan di Selama masih ditutup kepada semua kenderaan akibat tanah runtuh dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Pintasan Kampung Sumpitan-Kampung Masjid.

Selain itu, di Kerian laluan FT 147 Jalan Selama hanya dibuka kepada kenderaan berat dan orang ramai diarahkan menggunakan jalan alternatif di A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah. – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini