comscore
Tumpuan :
Nasional

36 negara berisiko rendah dibenar guna sistem ‘autogate’ – KDN

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan 36 lagi negara berisiko rendah dibenarkan menggunakan pintu automatik tapisan Jabatan Imigresen di semua pintu masuk negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kemudahan itu yang berkuatkuasa 1 Jun depan adalah langkah untuk mengurangkan kesesakan sewaktu ketibaan pengembara terutama di waktu puncak.

“Tahun lalu kami umumkan 10 negara berisiko rendah boleh melalui ‘autogate’ dan berkuat kuasa 1 Jun ini, kami buka kepada 36 negara lagi, menjadikan semuanya 46 negara yang boleh menggunakan kemudahan berkenaan.” jelasnya.

Inisiatif itu antaranya melibatkan semua 26 negara dari Kesatuan Eropah, China, Emeriah Arab Bersatu (UAE), Oman, Hong Kong dan Taiwan.

“Inisiatif ini membolehkan pemeriksaan di pintu masuk lebih cepat dan dipermudahkan tanpa kompromi elemen keselamatan, sekali gus untuk menangani kesesakan di pintu masuk negara,” katanya.

Beliau mengumumkan perkara itu ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di Putrajaya.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Saifuddin memaklumkan dari Januari hingga April seramai 40 juta pengembara masuk ke negara ini dengan 30.5 juta daripadanya melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 dan 2 serta Tambak Johor.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai kes MyKad palsu digunakan warga asing untuk mendapatkan pekerjaan di negara ini dan adakah kerajaan berhasrat menambah baik ciri keselamatan dokumen berkenaan,  Datuk Seri Saifuddin memaklumkan, ciri fizikal termasuk keselamatan pada dokumen pengenalan diri atau MyKad sedia ada sudah memadai.

Beliau berkata, langkah penting yang perlu ditangani ketika ini adalah dari segi penguatkuasaan dan hebahan kepada orang ramai supaya tidak terjebak dalam memiliki atau menggunakan dokumen pengenalan diri palsu.

“Kita faham hal itu, kita bukan sahaja tangani secara pentadbiran, kita ada bahagian penguat kuasa di JPN (Jabatan Pendaftaran Negara), kita ada keupayaan mengesannya MyKad palsu, kita juga ada program hebahan kepada masyarakat elak memiliki dokumen diri yang tidak sah.

“Jadi perkara kita nak sebut, apakah kita bercadang untuk mengubah ? Kalau dari segi fizikal itu memadai tetapi langkah yang kita nak ambil ialah, pertama hebah kepada masyarakat jangan sesekali terjebak dalam keadaan begitu.” tambahnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini