Tumpuan :
Nasional

37,000 saman dikeluarkan dalam 13 hari Ops Khas Motosikal

Aedy Fadly menyampaikan lesen B2 dan topi keledar pada Majlis Perasmian Program MyLesen B2 Peringkat JPJ Negeri Terengganu di SMK Padang Midin. – FOTO: NSTP

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 37,708 saman atas pelbagai kesalahan kepada pengguna motosikal dalam tempoh 13 hari pelaksanaan Ops Khas Motosikal bermula 1 November lalu.

Ketua Pengarah, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata ia susulan pemeriksaan dijalankan terhadap 136,067 motosikal sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita 1,014 motosikal membabitkan pelbagai kesalahan seperti tiada insurans dan cukai jalan, pengubahsuaian sangat ekstrem oleh pemilik motosikal.

“Operasi akan diteruskan selama dua bulan sehingga Disember ini yang mana operasi akan diadakan secara berterusan untuk tempoh dua bulan di seluruh negara.

“Penguatkuasaan secara berterusan penting untuk mendidik dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

“Jadi kita ingin ingatkan kepada semua pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan kerana tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program MyLesen B2 Peringkat Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin di sini hari ini.

Sementara itu, Aedy Fadly berkata, program MyLesen adalah komitmen dan usaha berterusan kerajaan untuk membantu B40 mempertingkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah melalui peluang pekerjaan.

Katanya, pemilikan lesen memandu kelas B2 itu memberi manfaat kepada masyarakat termasuk di Terengganu bagi memudahkan pergerakan menguruskan aktiviti-aktiviti ekonomi setempat seterusnya meningkatkan pendapatan isi rumah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini