comscore
Tumpuan :
Nasional

38 Dokumen Dengan Ciri Keselamatan Terkini Dikeluarkan JPN Mulai Tahun Depan

| Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA : Mulai awal tahun depan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengeluarkan 38 dokumen identiti pendaftaran negara baharu dengan ciri-ciri keselamatan terkini dan berkualiti secara berperingkat.

Antaranya sijil kelahiran, sijil kematian, daftar perkahwinan, sijil kewarganegaraan Malaysia dan dokumen pengenalan sementara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, dokumen itu bertujuan memastikan isu ketulenan dan kesahihan terus terpelihara serta membendung isu penyalahgunaan.

“Contohnya sijil kelahiran baharu ada ‘watermark’ (tera air) dalamnya, kita nak memastikan bahawa sijil itu tidak boleh dikeluarkan dengan sewenang-wenangnya. Kalau ada pihak yang mengeluarkan sijil dan bawa kepada kita, kita tahu sijil itu sahih atau tidak dengan menggunakan kaedah tertentu.

“Watermark yang ada untuk JPN berbeza dengan watermark yang diperolehi di agensi lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Pendaftaran Negara (HPN) ke-74 bertemakan Keluarga Malaysia: Identiti Kekal Terpelihara di sini hari ini.

Dokumen baharu berkenaan menggabungkan ciri-ciri keselamatan pada reka bentuk dokumen, kertas yang digunakan dan juga jenis dakwat untuk cetakan keselamatan.

Pada masa sama, beliau turut menyifatkan dokumen identiti negara adalah yang terbaik di peringkat dunia kerana sentiasa ditambah baik mengikut peredaran zaman.

“JPN adalah satu-satunya agensi yang sentiasa memikirkan tanggungjawab mereka untuk menentukan bahawa keselamatan semua terjaga. Kadang-kadang orang merasakan keselamatan hanya menggunakan fizikal semata-mata, kita tidak sedar bahawa identiti itu juga adalah keselamatan.

“Maka apabila JPN dapat memastikan semua dokumen yang ada itu sah dan selamat untuk digunakan, insya-Allah kita juga boleh menjaga undang-undang dalam negara dengan adanya identiti yang boleh diguna pakai di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, JPN dalam siaran media memaklumkan, sehingga kini, 471 operasi siasatan dan penguatkuasaan dijalankan di seluruh negara.

Daripada operasi berkenaan, 195 tangkapan dan pendakwaan bagi kes-kes di bawah Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (Akta 299) dilakukan.

Loading...
Terkini