Tumpuan :
Nasional

3,838 mangsa banjir direkodkan di 6 negeri

Banjir di sekitar Kampung Baru Kemasik, Kemaman.- Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Seramai 3,838 mangsa banjir direkodkan di enam negeri dengan 39 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka sehingga 3 petang tadi.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir itu direkodkan di Terengganu, Kelantan, Perak, Pahang, Melaka dan Johor.

“Terengganu merekodkan jumlah mangsa banjir paling tinggi iaitu seramai 3,339 orang membabitkan 885 keluarga dengan 25 PPS dibuka di daerah Kemaman dan Dungun.

“Di Kelantan pula, seramai 163 mangsa banjir daripada 37 keluarga dipindahkan di dua PPS di Gua Musang,” katanya.

Sementara itu, di Johor, seramai 150 mangsa banjir daripada 40 keluarga dipindahkan di tiga PPS di Segamat dan Tangkak.

“Selain itu, 133 mangsa banjir daripada 37 keluarga di Pahang ditempatkan di enam PPS di Maran, manakala 42 mangsa daripada 14 keluarga di Perak dipindahkan di dua PPS di Kinta serta Perak Tengah.

“Di Melaka pula, seramai 11 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di sebuah PPS di Jasin,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) melaporkan luruan angin sejuk atau luruan monsun yang berpotensi membawa hujan lebat berpanjangan dan mencetuskan gelombang kedua banjir dijangka melanda negara bermula semalam hingga 14 Disember ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini