comscore
Tumpuan :
Nasional

386 PATI dihantar pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Tawau

 

Foto JIM Sabah

TAWAU: Seramai 386 pendatang asing tanpa izin (PATI) dihantar pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Tawau di sini, semalam.

Semua PATI yang ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar, Tawau dan Sandakan itu dihantar menggunakan pengangkutan laut ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pemindahan itu membabitkan seramai 291 lelaki dan 72 wanita PATI.

Selain itu katanya, JIM turut menghantar pulang 23 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah termasuk seorang bayi.

“Ini adalah program pemindahan siri 6 bagi kategori usir ke negara asal melalui laut bagi tahun 2024.

“Semua PATI yang ditahan di Depot Imigresen ini melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya semalam.

SH Sitti Saleha berkata, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.

Sehubungan itu, SH Sitti Saleha mengingatkan semua warga asing supaya sentiasa memastikan mereka memiliki dokumen perjalanan sah dan permit kerja yang dibenarkan.

Katanya, Jabatan Imigresen Sabah akan terus melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

“Semua agensi penguatkuasaan di negeri Sabah juga akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

“Operasi Pemindahan ini adalah merupakan sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di seluruh Negeri Sabah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini