Tumpuan :
Nasional

4.1 peratus pelajar tercicir akibat tak berjaya tamat pengajian di IPTA tahun lalu – Zambry

Foto Fail Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir

KUALA LUMPUR: Sebanyak 4.1 peratus pelajar tercicir direkodkan akibat tidak berjaya menamatkan pengajian di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mengikut Sistem MyMoheS Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), tahun lalu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata antara punca utama keciciran itu adalah diberhentikan disebabkan tidak mendaftar dan gagal peperiksaan.

Selain itu, katanya, ia berpunca daripada berhenti atas sebab peribadi, alasan tidak berminat meneruskan pengajian, tidak membayar yuran pengajian dan masalah kewangan.

“Sehubungan itu, KPT sudah melaksanakan beberapa inisiatif dalam mengatasi isu berkenaan bersama pihak IPTA dengan menyediakan dua bentuk program intervensi,” katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, program intervensi yang dilaksanakan itu bersifat akademik seperti sistem penasihat akademik atau PA.

“Di bawah program itu, perancangan atau penyusunan semua pengajian diperhalusi untuk membolehkan pengajian diteruskan.

“Program intervensi bukan akademik turut dilaksanakan seperti perkhidmatan kaunseling individu dan berkelompok, ‘buddy system’, program motivasi, program mentor-mentee, ‘Academic Special Program’ dan program kesedaran dari semasa ke semasa bagi membantu pelajar-pelajar di IPTA meneruskan pengajian mereka, ” katanya.

Zambry berkata, KPT juga menyediakan pelbagai bantuan bagi meringankan beban pelajar terutamanya dari golongan B40.

“Antara inisiatif yang dilaksanakan untuk membantu pelajar-pelajar daripada kelompok berkenaan termasuk penyediaan perkhidmatan Program Food Bank Siswa, Dapur Hal Ehwal Pelajar (HEP), pemberian wang sara diri dan sebagainya menggunakan peruntukan dana zakat, wakaf dan sumbangan yang diterima di IPTA masing-masing.

“KPT dari semasa ke semasa berhubung dengan pihak IPTA untuk melihat dengan lebih mendalam intervensi yang boleh dilakukan untuk membantu mereka yang terkesan akibat pandemik terutamanya bagi memudahkan proses untuk mereka meneruskan kembali pengajian,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini