comscore
Tumpuan :
Nasional

4 beradik bawah umur ditinggalkan di pondok pengawal, selepas dihalau nenek

EMPAT beradik berusia antara 10 bulan hingga 11 tahun ditinggalkan wanita misteri di hadapan Kompleks Pentadbiran Perak Tengah, Kampung Gajah. FOTO: Ihsan pembaca

PASIR SALAK: Empat beradik bawah umur ditemui ditinggalkan di hadapan Kompleks Pentadbiran Perak Tengah, Kampung Gajah, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira 10.50 pagi itu membabitkan kanak-kanak lelaki masing-masing berumur 11 tahun, tiga tahun dan bayi 10 bulan serta seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu daripada Pegawai Kebajikan Masyarakat Kampung Gajah pada jam 5.39 petang.

Hasil siasatan awal, katanya, pengadu dimaklumkan oleh pengawal keselamatan bahawa semua mangsa ditinggalkan di hadapan pondok pengawal keselamatan kompleks pentadbiran itu oleh seorang perempuan yang tidak dikenali yang menaiki kereta jenis Toyota.

“Hasil pertanyaan kepada kanak-kanak berumur 11 tahun berkenaan, dia mendakwa mereka dihalau dari rumah oleh nenek di Kampung Kuchai, Bota di Parit.

“Mereka dihantar ke tempat kejadian menaiki kereta oleh seorang perempuan yang tidak dikenali.

“Pengadu kemudian menghantar kanak-kanak itu ke Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Gopeng untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hafezul Helmi berkata, polis masih menjalankan siasatan untuk mengesan ibu bapa atau waris kanak-kanak itu.

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan insiden ini boleh menghubungi pegawai penyiasat jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah, Inspektor Mohd Hanif Dzulkifli di talian 012-6477452,” katanya.

Loading...
Terkini