comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 4 ekor gajah dipercayai diracun, sampel bangkai diambil untuk siasatan

KLUANG: Susulan penemuan bangkai empat ekor gajah dipercayai mati diracun, di Kampung Sri Timor, Kahang, di sini, sampel haiwan berkenan sudah diambil oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk melakukan bedah siasat.

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Ling Tian Soon menerusi satu kenyataan ringkas.

Kata Ling, pihaknya memantau rapat perkembangan kejadian bersama Jabatan Perhilitan Negeri.

“Untuk makluman semua, pihak Jabatan Perhilitan Daerah Kluang telah mengambil tindakan untuk membuat siasatan dan telah mengambil sampel daripada bangkai gajah untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Katanya setakat ini, punca kematian gajah masih dalam siasatan Jabatan Perhilitan Kluang.

“Orang ramai diminta tidak ambil undang-undang di tangan sendiri.

“Lapor kepada PERHILITAN, PDRM atau ketua kampung sekiranya berhadapan masalah konflik dengan gajah bagi membolehkan pihak berkuasa ambik tindakan lanjut.

“Jabatan Veterinar juga sedang melakukan bedah siasat dan jika terbukti benar empat gajah itu mati diracun, PDRM sudah tentu akan mengambil tindakan susulan,” katanya.

Sementara itu Pengarah PERHILITAN Johor, Aminuddin Amin, berkata bedah siasat perlu dilakukan bagi mengetahui punca kematian empat gajah berkenaan.

“PERHILITAN Johor masih buat siasatan dan akan adakan bedah siasat terhadap empat bangkai gajah berkenaan, ” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Video berdurasi 1 minit 33 saat yang memaparkan bangkai empat gajah berkenaan yang didakwa mati akibat diracun, tular di media sosial sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini