comscore
Tumpuan :
Nasional

4 Hingga 6 Episod Hujan Berterusan Bermula November Hingga Mac Depan

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan empat hingga enam episod hujan berterusan akan berlaku bermula November hingga Mac tahun depan berikutan peralihan Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, tinjauan cuaca jangka panjang bagi September ini hingga Februari 2023 berdasarkan konsensus ahli meteorologi melalui analisis beberapa model tinjauan iklim terpilih antarabangsa.

Katanya, kebanyakan model iklim antarabangsa menunjukkan kitaran atmosfera di kawasan tropika pada masa ini konsisten dengan keadaan El-Nino Southern Oscillation (ENSO) adalah La Nina yang dijangka berterusan sehingga Disember ini dengan kebarangkalian 60 peratus.

“Tinjauan terkini menunjukkan cuaca sepanjang peralihan Monsun Barat Daya pada penghujung September dan MTL yang bermula awal November serta berakhir Mac tahun depan adalah normal dengan kebanyakan kawasan akan menerima paras hujan normal.

“Sepanjang tempoh MTL, empat hingga enam episod hujan berterusan dijangka berlaku hingga menyebabkan cuaca lebih lembap dari musim lain.

“Lazimnya cuaca diramalkan hujan pada sebelah pagi di timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah manakala pada sebelah petang, ribut petir atau hujan akan berlaku di negeri-negeri pantai barat Semenanjung, pedalaman Sarawak dan barat Sabah,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh MTL negara juga akan menerima tiupan angin yang konsisten dari arah timur laut antara 10 hingga 20 kilometer sejam.

“Beberapa siri hujan lebat yang menyeluruh juga dijangka berlaku untuk beberapa hari terutama di negeri-negeri pantai timur semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah.

“Justeru, kita nasihatkan orang ramai perlu sentiasa peka dengan keadaan sekitar serta rancanglah aktiviti seharian bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Katanya, maklumat cuaca terkini boleh didapati di laman web MetMalaysia, media sosial rasmi dan aplikasi myCuaca. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini