Tumpuan :
Nasional

4 lokasi “food bank” di Johor mula dikunjungi kumpulan gajah liar

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, empat lokasi “food bank” sudah siap dan mula menerima kumpulan gajah liar.

Oleh: Zahir Senapiah

KOTA TINGGI: Kerajaan Negeri Johor bakal mewujudkan 21 lokasi “food bank” di beberapa daerah di negeri itu khusus bagi menangani konflik manusia dan gajah liar di negeri itu.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, setakat ini empat lokasi “food bank” sudah siap dan mula menerima kumpulan gajah liar berkenaan untuk berkampung selama dua minggu.

Manakala dua lagi lokasi “food bank” termasuk di Santuari Gajah Johor (JES) sedang dalam proses untuk disiapkan.

“Dengan adanya lokasi food bank ini, kita yakin dapat menarik kumpulan gajah liar yang sebelum ini dikesan sering menceroboh kawasan kampung dan ladang untuk mencari makanan,” katanya selepas meninjau projek pembangunan santuari Gajah di sini yang telah siap fasa pertama.

Manakala fasa kedua dalam proses pembangunan dan dijangka siap menjelang 2026.

JES dibangunkan atas kawasan seluas 72 hektar di tebing hutan Panti, bakal dilengkapi pelbagai kemudahan hasil kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dengan sebuah universiti tempatan.

Antara kemudahan yang dibangunkan termasuklah kolam, kawasan pulih dan rawat bagi gajah yang cedera serta laluan pejalan kaki.

JES dijangka dan dibuka kepada orang ramai pada 2026 sekali gus menjadi pusat pelancongan baharu di Johor.

Difahamkan ketika ini dianggarkan terdapat 120 hingga 160 ekor gajah liar di Johor yang berkeliaran sekitar daerah Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.

Pada masa ini, JES menempatkan 4 ekor gajah termasuk seekor anak gajah betina diberi nama “Mira” yang berumur kurang dari tiga tahun yang telah diselamatkan pegawai PERHILITAN Johor di hutan Panti selepas sesat dari terpisah dari ibunya beberapa bulan lalu.

Tian soon juga memaklumkan Kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM9 juta bagi membina pagar elektrik seluas 16 kilometer di sekitar Hutan Panti dalam usaha mengawal mamalia itu daripada menceroboh kawasan kampung dan kawasan pertanian berdekatan.

“Pagar itu juga akan memudahkan gajah liar berkenaan memasuki kawasan JES bagi mendapatkan makanan.

“Mudah-mudahan dengan adanya inisiatif ini, konflik antara gajah manusia di kawasan sini dapat dikurangkan sebanyak 50 peratus.

“Pada tahun ini sahaja terdapat 64 aduan berkenaan konflik itu diterima di Johor dan di Kota Tinggi adalah yang paling tinggi,” katanya.

Selain langkah jangka masa sederhana dan panjang, pihaknya juga melakukan langkah jangka pendek dengan melakukan inisiatif tangkap dan pindah bagi mengurangkan konflik dengan penduduk setempat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini