comscore
Tumpuan :
Nasional

4 mangsa di PPS Klang dijangkiti COVID-19 sebelum banjir berlaku.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

CYBERJAYA: Empat mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Klang, Selangor disahkan positif COVID-19, setakat semalam.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bagaimanapun berkata, kesemua mangsa dijangkiti virus itu sebelum banjir berlaku.

“Saya difahamkan semalam di PPS ada empat warga tempatan daripada dua keluarga dikesan COVID-19 sebelum banjir berlaku. Mereka sudah diisolasi di Dewan Orang Ramai Kampung Budiman mengikut SOP kita,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Pengoperasian Hospital Cyberjaya di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa banjir tidak diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19 di PPS seperti mana protokol kesihatan yang dilaksanakan sejak awal tahun.

Namun, ujian berkenaan hanya akan dilakukan terhadap mangsa yang mempunyai gejala susulan negara memasuki fasa peralihan ke endemik.

Berdasarkan data di Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat jam 12 tengah hari tadi, lapan PPS dibuka menempatkan 768 mangsa daripada 183 keluarga di Johor, Kelantan dan Selangor.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, kemudahan dan projek tebatan atau mitigasi banjir perlu diperhebatkan terutama di kawasan bandar yang tidak sepatutnya berdepan masalah bencana alam itu.

Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh ketika meninjau keadaan banjir di Taman Setia Warisan semalam berkata, kejadian berpunca daripada ban tidak cukup panjang untuk menghalang limpahan dari sungai berdekatan kawasan perumahan.

“Jika saya dipilih sebagai Ahli Parlimen (Sungai Buloh) nanti, kita perlu duduk sekali dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan untuk membuat senarai dan pemetaan kawasan risiko tinggi (banjir), apa keperluannya dan sediakan penyelesaian holistik.

“Banjir di Kampung Melayu Subang atau Taman Setia Warisan bukan jarang berlaku tetapi dah jadi satu acara tahunan, tiga atau empat kali setahun. Ini memang menyusahkan penduduk, apabila air bah masuk dalam rumah, maka barang rosak,” katanya.

Loading...
Terkini