Tumpuan :
Nasional

4 maut dalam kemalangan di Putrajaya

PUTRAJAYA: Empat individu termasuk dua wanita maut selepas kereta yang dinaiki terbabas dan melanggar penghadang jalan berhampiran susur masuk ke sebuah pusat komersial di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, berkata laporan mengenai kemalangan itu diterima pada jam 1.20 pagi. Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta berkenaan, yang dalam perjalanan dari arah Kajang, hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh penghadang jalan.

“Kemalangan dilaporkan berlaku sekitar jam 1 pagi, dan empat mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Nurulhuda Ramli, 41; Amizan Sapiie, 27; dan Muhammad Danial Mohd Nuzi, 24. Sementara itu, mangsa yang cedera parah ialah Nizasuhana Ujang, 28.

Mayat kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Putrajaya untuk proses bedah siasat, sementara siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam perkembangan berkaitan, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 12.10 tengah malam. Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya segera dikerahkan ke lokasi kejadian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini