KUANTAN: Seramai 45 mangsa daripada 13 keluarga di Maran berada di empat pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kawasan penempatan mereka mengalami banjir, malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang dalam kenyataan pagi ini melaporkan, daripada jumlah itu, seramai 18 mangsa berada di Pusat Pemindahan Tetap (PPT) Luit.
Selain itu, pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Baru Sungai Chedong menempatkan tujuh mangsa, PPS Kampung Ulu Luit (15 mangsa) dan Surau Bukit Kuin (lima mangsa).
Sementara itu, menerusi laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), tiga sungai, masing-masing satu di daerah Kuantan, Maran dan Lipis melepasi paras bahaya pada jam 8 pagi ini.
Sungai terbabit ialah Sungai Belat, di Sri Damai di sini yang merekodkan bacaan 5.09 meter; Sungai Lui di Kampung Subuh, Maran (29.23 meter) dan Sungai Kechau di Kampung Dusun, Lipis (82.66 meter).
Lima sungai pula melepasi paras amaran iaitu Sungai Kuantan di Bukit Kenau di sini, Sungai Tanum di Jambatan Chegar Perah, Lipis; Sungai tembeling di Kampung Merting, Jerantut; Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub dan Sungai Belat di Jambatan Gambang, di sini.
Sementara, 13 sungai pula melepasi paras waspada.
Sehubungan itu, penduduk yang berada di kawasan rendah terutama berhampiran sungai supaya sentiasa bersiap sedia berpindah jika paras air sungai naik dan mengikut arahan daripada pihak berkuasa.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula bulan lalu akan berterusan sehingga Mac depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.