comscore
Tumpuan :
Nasional

4 tahun terputus hubungan, anak temui rangka bapa dalam pangsapuri 

KUALA LUMPUR: Rangka seorang pesara ditemui dalam sebuah pangsapuri di Kepong di sini, Khamis lalu selepas beberapa tahun kelibatnya tidak dilihat penduduk setempat.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, rangka lelaki berusia 72 tahun ditemui anak lelaki mangsa yang datang untuk bertemunya selepas empat tahun mereka terputus hubungan.

Katanya, anak mangsa mendapati kediaman bapanya berkunci dan gagal dihubungi.

“Anak mangsa bertindak memecahkan pintu rumah berkenaan sebelum menemukan bapanya dalam keadaan hanya tinggal rangka.

“Difahamkan, bapa mangsa tinggal berseorangan selepas bercerai dengan ibu mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kali terakhir anak mangsa berhubung dengan bapanya pada 2020.

“Rangka mangsa kemudian diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan dan tempoh kematian sebenar mangsa tidak dapat dipastikan,” katanya.

Sementara itu, tular mesej di media sosial mengenai penemuan mayat warga emas itu yang dikatakan sudah tidak kelihatan sejak empat tahun lalu.

Dalam mesej yang tular mengatakan kejadian itu tidak disedari penduduk setempat kerana mangsa pernah memaklumkan kepada rakan dan penduduk mahu pulang ke kampung sebelum kehilangannya.

“Sehinggakan semalam (Khamis) anak arwah datang mencari dan pihak JMB terpaksa mengumpil kunci untuk melihat keadaan rumah.

“Ramai terkejut kerana tiada siapa yang mengetahui dan tiada bau busuk di kawasan berkenaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini