comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 40 kanak-kanak, guru PASTI dipindahkan akibat banjir

 

BAYAN LEPAS: Seramai 40 kanak-kanak dan tiga guru Pasti Darul Ulum di sini dipindahkan selepas sekolah berkenaan dinaiki air akibat banjir kilat melanda.

Dalam kejadian itu, kanak-kanak berkenaan dibawa pasukan bomba yang melakukan tugas khas ke tempat selamat menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik orang awam.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau Nasir Sameon berkata, pihaknya sebelum itu menerima panggilan berhubung kejadian jam 10 pagi.

Katanya, anggota bersama pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan.

“Ketika di lokasi, didapati air banjir separas 0.6 meter (2 kaki) menenggelami lantai kelas di sekolah berkenaan dan keadaan adalah terkawal.

“Pasukan penyelamat membantu memastikan keselamatan kesemua mangsa sebelum mereka dipindahkan ke taman permainan dengan menaiki kereta pacuan empat roda milik orang awam,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, tular video perkongsian orang awam memaparkan kerja menyelamat kanak-kanak dan guru yang dilakukan pasukan bomba.

Mengulas lanjut Nasir berkata, pihaknya turut membuat pemantauan banjir kilat di sekitar Kampung Masjid, Kampung Nelayan dan Kampung Sulup.

Sementara itu Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, kejadian banjir kilat berlaku berikutan hujan lebat selama lebih empat jam sejak 7 pagi dan limpahan air naik ke kawasan jalan raya dan rumah pada paras 0.6 meter.

“Tiada kemalangan membabitkan nyawa berlaku dan pihak bomba akan melakukan pemantauan dengan berterusan,” katanya di sini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini