comscore
Tumpuan :
Nasional

401 klinik kesihatan daif akan dinaik taraf tahun ini

KOTA KINABALU: Sebanyak 401 klinik kesihatan di negara ini dikenal pasti sebagai klinik daif dan akan dinaik taraf tahun ini melalui peruntukan RM150 juta yang sudah diluluskan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah itu, 208 klinik kini dalam proses untuk dinaik taraf manakala enam klinik sudah siap dinaik taraf sehingga April lalu.

“Tahun ini, kita memperuntukan sebanyak RM150 juta untuk proses naik taraf semua klinik yang dikenal pasti berada dalam keadaan daif di seluruh negara,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Malaria, Tibi dan Kusta Sedunia 2024 Peringkat Kebangsaan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Asits Sanna dan Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS, Datuk Dr Mohd Yusof Ibrahim.

Dr Dzulkefly berkata, di Sabah, sebanyak 58 klinik kesihatan dikategorikan sebagai daif yang mana tiga daripadanya sudah selesai dinaik taraf.

“Selebihnya, kita masih ada baki 55 klinik daif yang harus diselesaikan proses naik taraf dengan peruntukan sebanyak RM21.5 juta.

“Saya sudah maklumkan semua proses naik taraf klinik daif di Sabah perlu diselesai dalam tahun ini. Tiada lagi sebarang projek yang dibawa ke tahun depan,” katanya.

Beliau berkata, tahun lalu sebanyak 23 klinik daif direkodkan yang mana hanya 19 saja berjaya dinaik taraf manakala empat lagi dibawa ke tahun ini.

“Namun, kerja naik taraf empat klinik itu sudah selesai dilaksanakan. Secara keseluruhan peruntukan bagi menaik taraf semua klinik daif di Sabah tahun lalu adalah sebanyak RM10.8 juta,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini