comscore
Tumpuan :
Nasional

407 projek bernilai RM1.19 bilion di Terengganu dibiayai Kerajaan Persekutuan

FOTO: Ihsan SPOT Bundle Kemaman / Facebook

KUALA TERENGGANU: Sebanyak RM1.19 bilion telah dibelanjakan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Terengganu sepanjang tahun ini.

Pengarah Jabatan Pembangunan negeri (JPN), Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, Abdul Kahar Abdul Latif berkata, sebanyak 407 projek termasuk pembinaan dua hospital iaitu Hospital Kemaman dan Hospital Dungun membabitkan peruntukan sebanyak RM594.24 juta.

Katanya, Terengganu mencatat kedudukan keempat tertinggi mendahului negeri lain terutama daripada prestasi perbelanjaan dalam Rolling Plan Ketiga (RP3) dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

“Setakat ini, sebanyak RM1.19 bilion dibelanjakan daripada keseluruhan peruntukan berjumlah RM1.39 bilion dengan peratusan perbelanjaan sebanyak 85.49 peratus.

Abdul Kahar (tiga kanan) ketika menyantuni petugas media pada program Sesi Ramah Mesra JPN bersama Media, semalam. FOTO: NSTP

“Tahun lalu, sebanyak RM1.37 bilion diluluskan kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan 365 pelbagai projek di Terengganu,” katanya ketika berucap pada program Sesi Ramah Mesra JPN bersama Media, di sini, malam tadi.Turut hadir, Pengarah Penerangan negeri, Sait Yaman dan Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT), Ahmad Syafri Husnaini Mohamad.

Mengulas lanjut, Abdul Kahar berkata, kerajaan Persekutuan melalui pelbagai agensi dan kementerian meluluskan sebanyak RM39.76 juta untuk melaksanakan projek termasuk penyelenggaraan jalan, longkang, dewan orang ramai, masjid dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Katanya, antara masjid yang dalam pembinaan adalah Pusat Islam Bandar Ketengah Jaya membabitkan peruntukan sebanyak RM11.19 juta, Masjid Kampung Langgar Hulu Terengganu (RM5.3 juta) dan Masjid Kuala Kubang di Jabi, Besut (RM2.87 juta).

“Selain melaksanakan program pembangunan fizikal, JPN turut menyelaras pelaksanaan kesejahteraan rakyat bertujuan menoktahkan kemiskinan di Terengganu.

“Statistik terkini menunjukkan sebanyak 6,506 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar dan 24,740 miskin didaftarkan melalui sistem e-Kasih di seluruh Terengganu,” katanya.

Abdul Kahar berkata, antara program dilaksanakan dan dalam perancangan termasuk memperuntukkan sebanyak RM22 juta untuk melaksanakan program bina baru dan membaikpulih rumah agar kumpulan sasar memiliki kediaman selamat dan selesa.

“Peruntukan diluluskan untuk dilaksanakan di seluruh negeri membuktikan kerajaan persekutuan tidak menganaktirikan Terengganu,” katanya.

Loading...
Terkini