comscore
Tumpuan :
Nasional

4,140 Anak Sahabat AIM dapat manfaat program tuisyen percuma

KUALA NERUS: Seramai 4,140 Anak Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mendapat manfaat menerusi program tuisyen percuma yang dilaksanakan badan itu di seluruh negara.

Pengarah Urusan AIM, Shamir Aziz berkata program yang bermula dari Julai tahun lalu membabitkan penyertaan 197 tenaga pengajar berpengalaman dalam bidang pendidikan.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 133 pusat tuisyen seumpama itu dibuka di seluruh negara dengan peserta program membabitkan anak-anak daripada golongan B-40.

Sehingga akhir tahun ini, sebanyak RM1.2 juta diperuntukkan oleh AIM bagi tujuan itu.

Beliau berkata, program ini bukan saja memberi manfaat kepada anak-anak sahabat (usahawan yang menerima bantuan daripada AIM), malah kepada lepasan graduan yang masih tidak mendapat pekerjaan.

Tenaga pengajar yang terbabit akan dibayar RM400 sebulan manakala anak-anak ini juga akan disediakan makan minum sepanjang mengikuti tuisyen.

“Selain memberi pinjaman, kita melihat memberi pendidikan satu-satunya cara keluar daripada kemiskinan. Jadi kita jadikan pusat tuisyen di pejabat AIM bermula jam 5 petang mereka diajar subjek matematik dan Inggeris,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Program Tuisyen untuk anak sahabat usahawan AIM bersempena Karnival Sahabat Usahawan Madani AIM Wilayah Terengganu di Kuala Nerus, hari ini.

Majlis pelancaran itu dirasmikan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Seri Dr Syed Hussian Syed Junid.

Loading...
Terkini