comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: ‘Biar uzur, mengundi itu wajib’

Liamon (kiri) dan Gais (kanan) menunjukkan jari selepas mengundi di SMK Tun Fuad Stephens Kiulu, Tuaran. – Foto: NSTP

TUARAN: Tahap kesihatan yang terjejas kebelakangan ini akibat faktor usia tidak dihiraukan oleh warga emas dalam Parlimen Tuaran untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Liamon Bilih, 92, dari Kampung Borombon di sini, ditemani ahli keluarganya mengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens Kiulu, di sini.

Walaupun uzur, Liamon tetap bersemangat menunaikan kewajipan seperti mana kelazimannya sebelum ini.

“Selagi mampu menggerakkan tangan dan kaki serta mengenang jasa pemimpin, saya tetap bersemangat mengundi sebagai rakyat Malaysia terutamanya anak jati Kiulu, Sabah.”

“Pusat mengundi menyediakan kakitangan yang membantu jika ada kecemasan,” katanya di sini, hari ini.

Gais Katanga, 76, juga dari Kampung Borombon Kiulu, berkata pergerakan terbatas akibat masalah tulang belakang bukan halangan baginya keluar mengundi.

“Saya ikuti perkembangan negara dan isu semasa melalui ahli keluarga di kampung.

“Ada juga video kempen yang saya tonton, jadi saya tahu apa yang berlaku dan saya mengundi untuk generasi muda.Saya mahu Malaysia terus aman dan kita boleh hidup bersama walaupun berbeza kaum serta agama,” katanya.

Parlimen Tuaran menyaksikan saingan lima penjuru membabitkan Datuk Wilfred Madius Tangau selaku penyandang mewakili Pakatan Harapan (PH), Datuk Joniston Bangkuai (GRS), Jo Anna Sue Henley Rampas (Warisan) serta dua calon Bebas iaitu Datuk Noortaip Suhaili @ Sualee dan Boby Lewat. – Berita Harian

Loading...
Terkini