comscore
Tumpuan :
Nasional

4,195 pelajar baharu daftar masuk UPSI

TANJUNG MALIM: Seramai 4,195 pelajar baharu Ijazah Sarjana Muda mendaftar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi pengambilan September 2024/2025, semalam.

Suasana pendaftaran dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang itu berjalan dengan lancar.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada pelajar baharu yang hadir seawal jam 7.00 pagi bersama keluarga masing-masing di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.

“Alhamdulillah, proses pendaftaran lancar dan UPSI menyambut pelajar serta keluarga dengan penuh kegembiraan dan mereka akan mengikuti Minggu Intelektual dan Interaksi Anak Kandung Suluh Budiman (MILLENIA) iaitu acara tahunan yang dikendalikan oleh 200 pelajar yang ditugaskan sebagai fasilitator,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata MILLENIA menjadi platform utama untuk pelajar baharu menyesuaikan diri dengan persekitaran kampus, sekali gus memupuk semangat kekeluargaan dan intelektual sebagai Anak Kandung Suluh Budiman.

“UPSI bukan sahaja menawarkan pendidikan yang unggul, tetapi juga memberi peluang kepada pelajar untuk menikmati suasana kampus yang harmoni dan indah,” katanya.

Beliau menambah pelajar baharu boleh dianggap bertuah kerana UPSI mempunyai pelbagai kemudahan rekreasi seperti Pusat Bowling UPSI, Kolam Renang Gimnasium UPSI, Edu Forest, dan UPSI Adventure Park yang pastinya akan menjadi daya tarikan kepada pelajar baharu untuk beriadah pada masa lapang.

Selain itu, pelajar yang mengalami masalah kewangan tidak perlu bimbang kerana UPSI menyediakan khidmat Bantuan Pendaftaran Pelajar Baharu yang diselia oleh Pusat Wakaf Endowmen Zakat Khairat dan Sedekah (WEZAS) serta kerjasama erat dengan Seksyen Kebajikan, Perkhidmatan dan Perumahan Pelajar.

“Inisiatif ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan yang dihadapi pelajar, seterusnya memastikan mereka dapat melanjutkan pengajian dengan lebih tenang, tanpa kerisauan kewangan di UPSI.

Beliau menjelaskan langkah-langkah proaktif ini mencerminkan komitmen UPSI dalam menjaga kebajikan setiap pelajar, khususnya mereka yang memerlukan, sejajar dengan misi universiti untuk melahirkan insan yang bukan sahaja berilmu, malah prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat sekeliling.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini