comscore
Tumpuan :
Nasional

420 kanak-kanak istimewa sertai karnival sukan terbesar, terima pengiktirafan MBOR 

KUALA LUMPUR: 420 kanak-kanak istimewa cipta sejarah berkumpul menyertai karnival sukan terbesar sekaligus menerima pengiktirafan Malaysia Book Of Record (MBOR).

Pengiktirafan itu diberikan kepada Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) Al Kauthar Eduqids yang menganjurkan acara berkenaan sempena AKE Fun Run Olympic Carnival di 99 Wonderland Park, Selayang, di sini, pagi tadi.

Pengurus projek tadika berkenaan, Datin Dr Nor Fadilah Alias berkata, karnival berkenaan adalah acara tahunan dan kali ini berbeza kerana berjaya mengumpulkan kanak-kanak berkeperluan khas paling ramai dalam program berkenaan.

Menurutnya, karnival itu menonjolkan pembabitan semua pihak terutama anak istimewa bersama ibu bapa dan tenaga pengajar bagi mengembangkan pengetahuan dan meningkatkan keyakinan diri.

Katanya, program itu memberi pendedahan baik kepada anak istimewa sekali gus kepada masyarakat bahawa anak berkeperluan khas ini tidak sepatutnya hanya berada di rumah.

“Kita mahu masyarakat sedar anak golongan ini (istimewa) tak patut diasingkan. (Program seperti ini) membantu tingkatan sosial, fizikal dan sosial emosi kanak-kanak. Mereka perlu diraikan dan ini masa berkualiti bersama ibu bapa,” katanya.

Katanya, karnival itu bertujuan memberi pengalaman baharu dan merasai keseronokan sesuai usia selain memberi peluang terutama anak istimewa merasai semangat berpasukan, nilai persahabatan dan menghargai kemahiran dalam diri.

Karnival berkenaan dirasmikan Tengku Indera Pahlawan Diraja Tengku Datuk Putra Al-Haj Tengku Azman Shah Al-Haj.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap pengarah tadika Datuk Kapten Dr Bakhtiar Aliff Ibrahim berkata, saban tahun pihaknya komited dalam penganjuran karnival itu sekali gus berjaya memecah rekod tahun terdahulu.

Secara keseluruhan, karnival itu membabitkan penyertaan kira-kira 5,000 kanak-kanak dari seluruh Lembah Klang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini