KUALA LUMPUR: Seramai 45 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini.
Kesemua mereka ditahan kerana disyaki terbabit dalam rasuah dan salah guna kuasa.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata dalam tempoh sama juga seramai 27 pegawai dan anggota didakwa di mahkamah atas kesalahan berkenaan yang mana 13 individu telah disabitkan kesalahan.
“Bagi tempoh berkenaan juga Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman telah membuka sebanyak 1,597 kertas siasatan tatatertib.
“Selain itu 1,118 kertas inkuiri tatatertib dikeluarkan terhadap anggota dan pegawai yang disyaki melanggar peraturan,” katanya dalam ucapan yang disiarkan di laman Facebook rasmi PDRM di Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah PDRM sempena Hari Integriti, di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Pada majlis sama, seramai 51 anggota dan pegawai polis menerima sijil penghargaan tolak rasuah oleh PDRM dan SPRM kerana mempamerkan integriti tinggi menolak pemberian rasuah.
Dalam pada itu Ayob Khan turut mengingatkan barisan kepemimpinan pasukan berkenaan di semua peringkat untuk mengambil tindakan tegas ke atas semua pegawai dan anggota yang terlibat dalam sebarang aktiviti rasuah dan salah guna kuasa tanpa mengira pangkat dan jawatan.
“Jangan kita sebagai pemimpin hanya mengambil tindakan ke atas pegawai polis berpangkat rendah sahaja manakala tiada tindakan diambil terhadap pegawai polis berpangkat tinggi.
“Jangan ada amalan dwi standard (double standard) dalam mengambil tindakan terhadap pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam salah laku,” katanya.
Beliau berkata, barisan kepemimpinan di semua peringkat wajib menunjukkan teladan yang baik kerana mereka sentiasa diperhatikan dan dinilai bukan hanya oleh pegawai dan anggota bawahan malah oleh masyarakat umum.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.