Tumpuan :
Nasional

4,507 calon akan duduki STAM 2024 mulai 3 Februari ini

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2024 akan dilaksanakan pada 3 hingga 6 Februari 2025 serta 10, 12 dan 13 Februari 2025.

“Seramai 4,507 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan STAM 2024 di 132 buah pusat peperiksaan seluruh negara. Bagi memastikan kelancaran pengurusan
dan pengendalian peperiksaan, seramai 926 orang petugas peperiksaan telah dilantik,” Kata kenyataan yang dikeluarkan KPM.

“Semua calon peperiksaan STAM 2024 diingatkan agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung. Jadual Waktu peperiksaan STAM Tahun 2024 boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my.

Menurut kenyataan itu lagi, calon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan selain perlu mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan STAM 2024.

“KPM sentiasa siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan.

“Calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau manamana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana. Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara.” Katanya lagi.

KPM komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan STAM 2024 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini