comscore
Tumpuan :
Nasional

457 anggota polis dikerah pastikan kelancaran Sambutan Hari Malaysia

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri

KUCHING: Seramai 457 anggota dan pegawai polis akan dikerahkan untuk memastikan keselamatan dan kelancaran Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan Sabtu ini.

Sambutan terbabit yang akan diadakan di Stadium Perpaduan akan bermula seawal 7.00 malam dengan acara rasminya bermula jam 8.30 malam usai ketibaaan Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tan Sri Mohammad Asfia Awang Nassar.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, antara tetamu kehormat yang akan menghadiri sambutan terbabit adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Sri Fadillah Yusof.

Turut hadir, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan tahun ini turut menggunakan tema yang sama dengan sambutan Hari Kebangsaan iaitu Tekad Perpaduan Penuhi Harapan dengan tambahan cogankata Bahasa Iban ‘Segulai Sejalai’ yang bermaksud Seiring dan Sejalan.

“Antara pengisian menarik yang dijadualkan pada sambutan tersebut ialah upacara menandatangani Buku Khas Hari Malaysia, perarakan masuk Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang dan Konsert Hari Malaysia selain persembahan kebudayaan.

“Dianggarkan seramai 5,000 orang akan hadir ke sambutan Hari Malaysia 2023 di Stadium Perpaduan Kuching Sarawak pada 16 September ini,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media Sambutan Hari Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kontigen (IPK) Sarawak di sini hari ini.

Mohd Azman dalam pada itu turut mengingatkan penerbangan dron adalah tidak dibenarkan di ruang udara sekitar tapak sambutan di Stadium Perpaduan kecuali mendapat kebenaran.

Ujarnya, ruang udara di sekitar kawasan stadium itu akan ditutup mulai jam 8.00 pagi sehingga jam 12.00 tengah malam.

“PDRM Sarawak menasihati orang ramai yang hadir agar sentiasa mematuhi undang-undang, tata etika, peraturan lalulintas dan memberi kerjasama kepada petugas di lapangan bagi memastikan program ini berjalan dengan aman serta tidak ada gangguan,” katanya.

Loading...
Terkini