MIRI: 330 penghuni dari 46 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah panjang Niga di Sungai Tinjar musnah dalam kebakaran yang berlaku tengah hari tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Sarawak, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran pada jam 12.17 tengah hari.
Pasukan bomba katanya mengambil masa selama tiga jam menuju ke lokasi kejadian memandangkan ianya terletak jauh di kawasan pedalaman.
“Sejurus sampai di lokasi pada jam 3.40 petang, pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan rumah panjang jenis tidak kekal yang musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku,” ujarnya.
Pasukan bomba kemudiannya bertindak memadam kebakaran yang berlaku dengan menggunakan sumber air yang diperoleh dari sungai berdekatan.
Maklumat awal yang diterima katanya turut mengesahkan seorang wanita mengalami kecederaan dalam kebakaran yang berlaku.
“Setakat ini, kerja-kerja mengawal kebakaran serta proses penyejukan masih lagi dijalankan bagi menggelakkan berlakunya kebakaran berulang,” ujar beliau.
Punca kebakaran serta anggaran kerugian yang dialami kesemua penghuni bagaimanapun masih lagi dalam siasatan
Turut difahamkan bahawa kesemua mangsa terjejas kini berteduh di rumah sanak saudara berdekatan sementara menunggu bantuan susulan tiba.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.