comscore
Tumpuan :
Nasional

4,698 Pencari Kerja Kunjungi Karnival Kerjaya Jelajah AKM Selangor

FOTO: PERKESO Selangor/Facebook

SHAH ALAM: Seramai 4,698 pencari kerja hadir ke temu duga di Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Selangor.

Ketua Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO Selangor, Syaddad Marop, berkata daripada jumlah itu, seramai 188 individu berjaya mendapat pekerjaan, 3,400 diterima untuk hadir ke temu duga kedua manakala 996 individu gagal mendapatkan pekerjaan.

“Bagi mereka yang gagal jangan putus asa, mereka masih berpeluang untuk mendapatkan pekerjaan. Saya sarankan mereka mendaftar dan kemas kini profil mereka di portal MyFutureJobs, di situ nanti jika ada padanan pencari kerja, akan dipanggil sendiri oleh majikan untuk hadir temu duga,” katanya kepada Bernama.

Program itu telah menemukan pencari kerja dengan 90 majikan membabitkan 23,159 tawaran jawatan kosong selama tiga hari penganjurannya sejak Jumaat lalu.

Jelajah AKM Selangor di pekarangan Stadium Shah Alam yang berakhir hari ini dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dengan tema ‘Usahawan Keluarga Malaysia Penggerak Ekonomi Negara’ serta membabitkan kira-kira 100 reruai usahawan industri kecil dan sederhana. – BERNAMA

Loading...
Terkini