Tumpuan :
Nasional

49 ditahan dalam serbuan 4 pusat hiburan di Kluang

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan 49 individu termasuk lima majikan warga tempatan dalam Ops Gegar di Kluang. FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan 49 individu termasuk lima majikan warga tempatan dalam Ops Gegar yang dijalankan di empat premis pusat hiburan di Kluang pada 10 Januari lalu.

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, dalam siri serbuan itu, seramai 90 warga asing dan tempatan diperiksa.

“Tangkapan dibuat membabitkan lima lelaki warga tempatan yang dipercayai penjaga premis berusia antara 25 tahun hingga 41 tahun.

“Semua tahanan warga asing pula membabitkan 27 wanita warga Vietnam, tiga lelaki dan sembilan wanita warga Indonesia, dua wanita Thailand, dua lelaki Bangladesh dan seorang lelaki warga Nepal yang semuanya berusia antara 21 hingga 48 tahun,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

FOTO: NSTP

Beliau berkata, warga asing yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala lima lelaki warga tempatan ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

Katanya, sebanyak enam notis hadir ke pejabat turut dikeluarkan sepanjang operasi dijalankan bagi membantu siasatan.

“Semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut,” jelasnya.

Pada masa sama, Mohd Rusdi berkata, pihaknya mengesan ramai warga asing menyalahgunakan kemudahan untuk tinggal di Malaysia dan bekerja secara haram serta terbabit dengan aktiviti tidak bermoral.

“Kita tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan serta pemilik premis yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas atau permit kerja yang sah,” tegasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini