comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 5 aduan kesan sampingan diterima daripada 5.7 juta penerima vaksin AstraZeneca

 

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

PUTRAJAYA: Sehingga kini terdapat lima aduan yang diterima Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan kesan sampingan vaksin AstraZeneca, daripada 5.7 juta penerima vaksin jenis itu.

Kesemua aduan yang diterima melibatkan kes trombosis dengan sindrom “thrombocytopenia” yang dikaitkan dengan vaksin AstraZeneca.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan kerajaan akan bertanggungjawab dan memberi rawatan sewajarnya kepada penerima vaksin AstraZeneca yang mendapat kesan sampingan.

“Kita ada data kesan advers susulan imunisasi (AEFI) punya daftar, semua ada dalam daftar kita, dan ini adalah domain awam di mana semua boleh akses, ” katanya dalam sidang media selepas  merasmikan sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan 2024, hari ini.

Mengulas lanjut, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan menjelaskan KKM juga bersedia meneliti sekiranya terdapat aduan kesan sampingan daripada vaksin lain.

“Kalau kita lihat kes trombosis tu lima sahaja daripada lebih lima juta, jadi ianya adalah kadar yang sangat rendah, tersangat rendah.

“Kita melihat kepada semua jenis vaksin, kita ada rekod daftar yang akan mencatat kesan sampingan dan masalah-masalah, rekod-rekod itu memang ada dan dikendali oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Kalau dulu kita guna MySejahtera dan beberapa platform lain untuk pengguna laporkan sekiranya terdapat apa-apa kesan sampingan, dan setiap kesan sampingan yang dilaporkan terutamanya yang serius, kita akan tangani mereka termasuk merawat di hospital dan rawatan-rawatan yang perlu, ” katanya.

29 April lalu Farmaseutikal AstraZeneca (AZ) dilaporkan mengakui dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin Covid-19 boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini