comscore
Tumpuan :
Nasional

5 daerah Johor alami gangguan bekalan air

Lima daerah di Johor yang mengalami gangguan bekalan air tidak terancang dan luar jangka susulan cuaca panas berterusan yang sedang melanda negara. FOTO: Ihsan Ranhill SAJ

JOHOR BAHRU: Lima daerah di Johor mengalami gangguan bekalan air tidak terancang dan luar jangka susulan cuaca panas berterusan yang sedang melanda negara.

Pengendali perkhidmatan air Johor, Ranhill SAJ Sdn Bhd dalam satu kenyataan memaklumkan lima daerah terjejas ialah Muar, Batu Pahat, Kluang, Kulai dan beberapa kawasan di daerah ini.

Ranhill SAJ berkata kesan cuaca panas yang sedang melanda negara memberi impak kepada sumber air dan kawasan tadahan di beberapa negeri termasuk juga di Johor.

“Implikasi berkenaan tidak terhad kepada kawasan tadahan tetapi juga memberi kesan kepada bekalan air bersih terawat yang menyumbang kepada gangguan bekalan air tidak terancang dan luar jangka kepada pengguna air di Johor.”

“Punca gangguan bekalan air tidak terancang yang berlaku di beberapa daerah adalah disebabkan oleh peningkatan penggunaan air, paras tangki yang tidak stabil, perubahan cuaca, kemerosotan kualiti air dan kejadian paip pecah luar jangka.”

Ranhill SAJ berkata pihaknya terus bersedia bagi sebarang kemungkinan dengan menggerakkan bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki ke kawasan terjejas mengikut keperluan.

Pada masa sama, Ranhill SAJ menyarankan pengguna agar menggunakan air secara berhemah dan membuat simpanan air yang mencukupi.

Senarai penuh kawasan di lima daerah yang mengalami gangguan bekalan air tidak terancang dan luar jangka disenaraikan di akaun Facebook ‘Ranhill SAJ – Setitis yang bermakna’.

Semalam media melaporkan paras simpanan air di tujuh buah Loji Rawatan Air (LRA) di Johor mencatat penurunan ketara dan dijangka sampai ke tahap kritikal, sekiranya cuaca panas terus melanda negeri ini.

Pengarah Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) Johor, Azlan Afandi Sauffee Afandi dilaporkan berkata tiga empangan yang mencatat penurunan ketara ialah Empangan Machap di Kluang, Empangan Gunung Ledang di Tangkak dan Empangan Gunung Pulai 2 di Kulai.

Empangan yang turut berdepan masalah susulan cuaca panas berterusan ialah Empangan Sembrong Barat; Empangan Ayer Hitam; Empangan Machap; Empangan Congok dan Upper Layang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini